Dunia Dalaman Menentukan Dunia Luaran

Assalamualaikum, sejahteralah sekalian makhluk seluruh alam.

Tiga tahun lepas, saya suka menonton rancangan tv yang bertajuk 'reset minda' yang dikendalikan oleh Prof. Dr. Muhaya. Slogan yang beliau popularkan dalam rancangan itu ialah, 'dunia dalaman menentukan dunia luaran' sambil tangan diletakkan ke diri sendiri sewaktu menyebut perkataan 'dalaman' dan perkataan 'luaran', tangan dijauhkan dari diri atau dimajukan ke depan.

Semenjak dari itu, saya mendalami maksud kata-kata itu dari pembacaan dan menghadiri kelas-kelas kesedaran diri, sehingga akhirnya saya dapat memahaminya dengan lebih baik dan sentiasa berusaha mengamalkan ilmu ini sesuai dengan kefahaman yang diberikan Allah swt.

Dunia dalaman bermaksud dunia di dalam diri kita sendiri. Ia terdiri daripada gabungan akal fikiran, kesedaran, hati dan perasaan, tingkatan nafsu, keterbukaan chakra dan pancaran aura.

Dunia luaran pula bermaksud dunia di luar diri kita. Iaitu tubuh kita, orang lain, material dan fizikal, kejadian-kejadian dan peristiwa yang kita lihat atau alami sendiri.

Ada yang menyebutkannya sebagai mikrokosmos bagi dunia dalaman dan makrokosmos sebagai dunia luaran. Ataupun alam saghir dan alam kabir, atau 'as within so without', sambungan puisi as above so below yang telah saya jelaskan dalam artikel Teknik Pantulan Cermin;

Apa yang ada di atas, ada di bawah. 
Apa yang ada di dalam, ada di luar. 

Seluruh kejadian di alam ini adalah saling berkaitan, sesuatu yang kita lakukan di sini sekarang memberi kesan kepada sesuatu kejadian di tempat lain atau pada masa depan, dan kejadian sekarang juga adalah terpengaruh oleh kejadian masa lalu. Ini menunjukkan bahawa adanya keseimbangan alam.

Pernahkah anda dinasihatkan jika bertemu dengan seseorang yang mempunyai sikap yang tidak baik, itu bermaksud anda harus belajar lebih bersabar? Anda dinasihatkan bahawa itu adalah ujian? Atau anda dinasihatkan bahawa sikap yang anda lihat itu juga ada dalam diri mu sendiri?  Semua adalah benar, kesemua nasihat itu bermakna, orang yang bersikap tidak baik itu ada hubung kaitnya dengan diri anda.

Dalam kes di atas, orang tersebut dan sikapnya adalah dunia luaran anda, dan perasaan anda terhadapnya adalah dunia dalaman anda.

Pada pemahaman biasa, orang itu dan sikapnya menyebabkan anda berperasaan marah tapi pada pemahaman luar biasa, anda sedar bahawa orang itu dan sikapnya adalah menifestasi daripada diri anda sendiri. Anda lah yang menyebabkan diri anda bertemu dengan orang itu atau orang itu adalah sisi diri anda yang lain.

Dunia dalaman menentukan dunia luaran. Apa yang anda temui di luar diri anda, kejadian dan pengalaman, sesungguhnya adalah menifestasi atau cerminan dari dalam diri anda sendiri.

Mata anda menjadi projektor yang memainkan wayang yang terdapat dalam diri anda. Jika ia wayang yang buruk, bagaimanakah anda harus bersikap? Bertemu dengan orang-orang yang menjengkelkan dan membuat anda marah hanya sia-sia, ia umpama memarahi diri anda sendiri.

Kadangkala kita mengalami kejadian-kejadian yang tidak diingini serta nasib yang tidak seindah orang lain. Jangan salahkan Tuhan. Tuhan tidak menzalimi hamba-hambanya, tapi makhlukNya lah yang menzalimi diri mereka sendiri.

Renung diri kita sendiri, apa yang telah kita sumbangkan kepada dunia ini? Dunia dalaman dan dunia luaran. Kerana dua dunia ini, amatlah saling berkaitan dan mempengaruhi. Kerana itu ada pepatah yang mengatakan;

"Untuk mengubah dunia, ubahlah diri anda dahulu."

Kata guru saya GrandMaster Umar Paranorms dari Qalam Ilahi Wellness Centre;

"Jika anda dilayan kurang baik oleh manusia, take a deep look into yourself, jangan salahkan beliau, lihat dalam hatimu, baiki di situ."

Mungkin kita merasa bahawa kita sudah melakukan yang sehabis baik untuk menghindar perkara-perkara dan pengalaman atau orang yang tidak diingini, tapi masih tetap mengalaminya, dan kita merasa ini bukanlah masalah dari dalam diri kita lagi kerana kita telah menyumbangkan semua tenaga dan usaha untuk memperbaikinya. Sesungguhnya ini adalah ego dan emosi, ternyata kita belum ikhlas sepenuhnya, kita masih belum berserah dan masih ada sesuatu dalam diri kita yang belum kita lepaskan, kita belum lagi memaafkan. 

Haluskan lagi layanan kita, lebihkan lagi pertolongan kita dan banyakkan lagi sedekah kita. Banyakkan meminta maaf dan berterima kasih. Apa saja pengalaman di luar diri kita, terima la ia dan berdamailah dengannya. Termasuk segala kesakitan yang kita alami. Kerana sememangnya dunia dalaman menentukan dunia luaran, terjadi dengan izin Allah swt.

Maafkan saya atas panjangnya tulisan ini dan terima kasih kerana membacanya.

I'm sorry, please forgive me, I love you, thank you.

Salam vibrasi cinta kasih,


❤ Nooren Aman 

Post Ini Mungkin Untuk Anda:

1 Tanggapan untuk "Dunia Dalaman Menentukan Dunia Luaran "

  1. Alhamdulillah....ia benar2 m’beri kesedaran pda dri sy,insyallah...dngn izin Allah sy akan manfaat kan segala ilmu jge pengetahuan ini buat dri jge kehidupan yg akn mendatang..

    BalasPadam