Pembaca yang disayangi, selama hidup anda, pasti ada satu lagu atau beberapa lagu yang sangat anda suka dan terasa sangat serasi dengan jiwa anda kan?
Mungkin lirik dari lagu itu menceritakan kisah hidup anda, atau anda sangat suka dengan muzik lagu itu yang membuat anda sedih, gembira atau bersemangat ketika mendengarnya.
Lagu Kesedihan
Genre lagu balada yang sentimental selalu terkait dengan cinta sesama manusia dan selalunya mendengungkan lirik-lirik orang yang patah hati, kecewa dan sengsara akibat dari perpisahan dan pengkhianatan. Kadangkala ada lirik yang terasa sangat sesuai menceritakan satu dari kisah hidup anda. Ketika mendengar lagu itu, perasaan anda seolah tertusuk, sebak sehingga mengalirkan air mata. Anda teringat kisah lalu atau anda sedang mengalami situasi yang sama seperti lagu itu, ataupun anda suka-suka membayangkan diri anda sebagai pelakon dalam lagu itu.
Anda membahayakan diri anda sendiri jika menjadikan lagu itu sebagai lagu kegemaran yang diulang-ulang dengar sehingga hafal dan dinyanyikan selalu dengan penuh perasaan. Minda bawah sedar manusia tidak tahu samada sesuatu perasaan atau fikiran itu adalah positif atau negatif. Anda secara tidak sedar telah memilih untuk merasai pengalaman kecewa dan patah hati dengan lirik yang anda lagukan. Kemudian lirik yang indah itu secara tidak sedar telah menjadi affirmasi dan doa anda yang tulus ikhlas.
Kenapa ia menjadi doa yang tulus ikhlas? kerana vibrasi lagu tersebut. Getaran yang terkandung dalam lirik lagu itu telah dikuatkan oleh hati anda menjadi perasaan yang sangat kuat. Perkara ini lebih kurang sama kenapa doa orang yang teraniaya itu makbul, kenapa kita diminta berdoa dengan merintih. Kerana adanya penglibatan perasaan, dan setiap kata-kata adalah doa.
Hati umpama mikrofon bagi fikiran. Ia boleh menguatkan getaran fikiran dengan kekuatan yang tidak terhingga kali ganda, kemudian menukarkan fikiran menjadi perasaan yang sangat kuat. Perasaan yang berupa energi kemudian dilepaskan ke seluruh alam, mencari setiap kesempatan untuk mengujudkan dirinya yang berupa kejadian-kejadian mengecewakan dalam hidup anda sendiri.
Lagu Kebahagiaan
Genre lagu kebahagiaan selalu terkait dengan cinta sesama manusia yang berjaya, lagu ketuhanan dan kesyukuran.
Jika anda merasa susah hati atau kecewa, inilah lagu yang sepatutnya anda nyanyikan. Bukan lagu kesedihan yang boleh menambah susah hati dan kekecewaan.
Lagu kebahagiaan dan kesyukuran memberikan harapan, semangat dan vibrasi yang tinggi. Diri anda bergetar dengan tinggi dan meninggalkan frekuensi lama yang rendah lagi menyedihkan. Anda sedang membawa diri anda melangkah keluar dari kekecewaan hidup yang anda alami.
Setelah mengetahui vibrasi perasaan yang terdapat dalam lagu kebahagiaan, jadikanlah lagu kebahagian itu sebagai doa anda yang mustajab.
Waspadalah terhadap lagu cinta pilihan hati anda, anda boleh menjadi apa yang anda dengar, rasakan dan lagukan sendiri.
Salam vibrasi cinta kasih dan sayang,
Nooren Aman
www.vibrasicintakasih.blogspot.com
Berikan komen anda untuk artikel "Lagu Cinta Pilihan Hati"
Catat Ulasan