Bulatan Kecemerlangan Diri

NLP, neuro linguistic program, aura, energy

Assalamualaikum, sejahteralah sekalian makhluk seluruh alam.

Bulatan kecemerlangan diri atau COE 'circle of excellence' adalah satu daripada jenis terapi yang dipelajari dalam ilmu NLP.

Dalam terapi ini, penerapi akan membawa klien merasai jenis keadaan diri cemerlang seperti yang diingininya. Maksudnya, keadaan seperti gembira, fokus, sihat atau apa sahaja keadaan diri yang membuat seseorang itu merasa cemerlang.

Di sini saya ingin berkongsi langkah-langkah terapi yang amat mudah ini dengan mengubahsuai beberapa langkah dan meringkaskannya agar ia mudah dijalankan ke atas diri sendiri. Terapi sebenar bersama penerapi NLP adalah berbeza dari ini.

Memilih keadaan diri yang cemerlang 
Keadaan diri yang bagaimanakah anda merasa sangat cemerlang, pernahkah anda merasainya sebelum ini? Bila?


Jika tidak pernah, bagaimanakah keadaan itu menurut anda? Siapa yang anda tahu pernah berkeadaan seperti itu? Adakah anda suka orang itu? (carilah orang yang anda suka).

Membuat bulatan kecemerlangan diri
Dalam keadaan menutup mata dan tenang, bayangkan di hadapan anda terdapat sebuah bulatan yang mewakili keadaan cemerlang itu. Berikan warna pada bulatan itu, wangian dan musik padanya jika berkenaan.


Ingat kembali di waktu anda pernah mengalaminya, jika tidak pernah, bagaimanakah keadaan itu jika anda mendapatnya nanti? Apa yang anda lihat? Apa yang anda dengar? Apa yang anda rasa?

Kemudian masuklah ke dalam bulatan tersebut. 

Penjelasan bulatan kecemerlangan 
Jadikan warna dan bunyi bulatan itu semakin jelas, semakin kuat, semakin terang sehingga 1000 kali ganda. Bulatan itu pula semakin membesar sebesar satu daerah dan warna bulatan itu yang terang memasuki tubuh anda sehingga warnanya memancar-mancar keluar dari setiap liang roma anda.


Bayangan masa hadapan
Di masa akan datang seperti esok, lusa, minggu depan atau bila-bila masa anda memerlukan keadaan cemerlang ini, ketika anda bersama keluarga, kawan, di tempat kerja atau di mana saja yang anda mahu, bagaimanakah keadaan ini mengubah dan mempengaruhi diri dan hidup anda? Rasakan pengalaman itu sekarang.


Terapi selesai dan anda boleh membuka mata.

Kenapa perlu menutup mata?
Untuk memudahkan akses kepada minda bawah sedar.


Kenapa banyak soalan yang perlu dijawab?
Kerana anda lebih tahu apa yang terbaik yang anda inginkan untuk diri anda.


Bagi pengamal ilmu aura, anda boleh mengisi bulatan dengan tenaga dan pada akhirnya melepaskan ia ke alam semesta atau dimensi yang tertinggi supaya ia selalu memancarkan aura cemerlang itu kepada anda.

Anda juga boleh membayangkan anda berada dalam bulatan itu pada bila-bila masa yang anda suka apabila keadaan cemerlang itu anda perlukan.

Bagi anda yang kreatif, anda boleh mengubah terapi ini mengikut kesesuaian diri anda sendiri.

Pemikiran dan perasaan setiap orang adalah berbeza, semoga pendedahan ini membuat anda semakin positif, cemerlang dan bahagia.

Terima kasih kerana membaca, salam kasih sayang selalu.


Nooren Aman
C.NLP

Post Ini Mungkin Untuk Anda:

Berikan komen anda untuk artikel "Bulatan Kecemerlangan Diri"

Catat Ulasan